MARAN: Kerajaan negeri mengiktiraf kawasan pertanian di Lanchang sebagai
Lembah Betik berikutan buah berkenaan akan di eksport ke luar negara dalam usaha memperluaskan pemasaran hasil pertanian pekebun
kecil.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Pahang, Datuk Tan Mohd
Aminuddin Ishak, berkata kerajaan negeri memberi kelulusan kepada pengusaha menanam betik untuk di eksport disamping memenuhi pasaran dalam
negeri.
Beliau berkata, setakat ini Malaysian Agriculture Food Community (MAFC) sudah
diberikan kebenaran serta dilantik sebagai tunjang utama untuk mengusahakan serta mencari pasaran ke luar negara.
“Pada peringkat awal, MAFC akan membuka stor pemasaran betik di London,
England berikutan permintaan yang diterima adalah bersesuaian dengan pengeluaran betik dalam negara sekarang.
“Difahamkan MAFC sudah menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) mengenai
pemasaran betik dengan negara berkenaan bagi memenuhi permintaan betik di negara itu.
“MAFC juga akan mendapatkan benih betik yang berkualiti tinggi supaya betik
keluaran negara diminati pengguna luar negara,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam
Beliau berkata, kerajaan akan menjadikan kawasan Lanchang sebagai Pusat
Tanaman Kekal Pengeluaran Pertanian negeri Pahang berikutan kesuburan tanahnya yang sesuai untuk tanaman sayuran.
Katanya, setakat ini seramai 29 pengusaha aktif menjalankan kegiatan pertanian
membabitkan kawasan yang diusahakan seluas 930 hektar.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenor berkata, Perdana
Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan melancarkan kawasan pertanian Lanchang itu pada 13 Januari depan.